10 Cara Mudah Untuk Membuatkan Anak Anda Lebih Yakin

Sebagai ibubapa, kita selalu meluangkan masa yang banyak untuk memastikan anak-anak berkelakuan sopan, makan dengan betul dan melakukan kerja rumah.  Akan tetapi, bagaimana pula dengan masa yang kita luangkan untuk membina keyakinan diri mereka?  Mari kita lihat 10 cara mudah yang boleh kita praktikkan untuk membina keyakinan diri anak-anak.

Oleh: Joe DeProspero


"Mari ayah tolong," kata saya sambil membongkok untuk mengikat tali kasut anak lelaki saya......atau sewaktu dia masih belajar untuk menuangkan minuman ke dalam cawan dahulu.....atau apabila anak perempuan saya yang masih merangkak cuba untuk mencapai permainannya (yang sebenarnya berada dalam jangkauannya).

Dahulu, saya selalu menolong anak-anak tanpa dipinta.  Namun, bukan saya seorang saja yang bersikap begini.  Saya tahu, ramai lagi ibubapa yang mempunyai naluri untuk "menolong".  Apakah tangan yang menghulurkan pertolongan itu benar-benar membantu atau sebaliknya, suatu hari nanti akan menghalang mereka daripada belajar untuk hidup berdikari?

Setelah menilai semula pendekatan yang diamalkan, saya bimbang sekiranya saya gagal untuk menyediakan asas yang baik untuk anak-anak menjadi insan yang berdikari dan berkebolehan.  Saya juga mula menyedari yang saya sepatutnya membantu mereka membina keyakinan diri.  Jadi, saya telah menemui beberapa strategi yang dapat memupuk keyakinan dalam diri anak-anak agar dapat melahirkan insan yang cekal dan berani apabila dewasa kelak.

1. Jangan ketawakan idea mereka, walaupun pelik
Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga mahu dilayan dengan serius.  Apabila merasakan diri mereka diejek (atau diketawakan), naluri akan mendorong mereka untuk marah,  merajuk dan tidak lagi ingin berkongsi idea kerana mereka khuatir akan diejek atau diketawakan.  Ingatlah, kanak-kanak melihat dunia dengan cara yang berbeza daripada kita.  Mungkin, anda akan terkejut dengan kata-kata mereka setelah anda mula menunjukkan yang anda mendengar  dan berminat dengan idea-idea dilontarkan.

2. Biarkan mereka dalam situasi sosial yang baharu
Anak saya yang berumur 6 tahun itu sangat minat dengan “football”.  Lalu, saya mengajaknya untuk menemani saya ke parti Super Bowl di rumah seorang kawan.  Sebelum pergi, awal-awal lagi saya telah mengingatkannya yang di sana nanti tiada kanak-kanak lain yang akan hadir kecuali dirinya.  Dia yang pada mulanya dia teragak-agak akhirnya bersetuju.  Sampai di sana, jelas sekali dia kekok dan tidak selesa, lebih-lebih lagi apabila menyedari yang dia hanya kenal saya dan tuan rumah.  Akan tetapi tidak lama kemudian, saya nampak dia mula duduk melepak di atas sofa sambil bersembang tentang "Star Wars" dengan tetamu-tetamu yang lain. Keselesaan hanya akan dapat dikecapi setelah kita menempuh kepayahan.

3. Ajarkan mereka bermain alat muzik
Walaupun saya percaya yang ibubapa tidak seharusnya memaksa anak-anak untuk mempunyai minat atau hobi yang sama, saya rasa bermain alat muzik merupakan pilihan yang wajar dipertimbangkan kerana ianya boleh memberikan banyak kesan positif.  Apabila mereka sudah mula menunjukkan minat dan kebolehan terhadap sesuatu, belajar bermain alat muzik bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan (betul….kanak-kanak juga merasa tertekan), bahkan secara amnya mampu meningkat keyakinan diri seseorang.

4. Ajak mereka ke dapur
Memang benar, ramai kanak-kanak lebih gemar makan daripada menyediakannya tetapi anda akan terkejut apabila melihat bagaimana satu pengalaman baharu dapat memberikan kesan terhadap perkembangan mereka. Suatu pagi, saya dan isteri telah mengajak anak lelaki kami untuk membantu menyediakan "blueberry pancake". Sekarang, dia kerap menawarkan dirinya untuk membantu di dapur dan dia selalu bangga dengan hasil kerjanya.

5. Raikan kejayaan mereka
Anak-anak tidak perlu diberi ganjaran setiap kali mereka berkelakuan baik.  Bahkan, saya sendir  juga tidak setuju dengan konsep "every kid gets a trophy".  Akan tetapi, menerusi pengalaman saya dapati anak-anak akan memberikan reaksi positif bila diberi pujian atas usaha gigih mereka - sebenarnya, semua orang pun begitu.  Namun yang lebih penting adalah ibubapa perlu menunjukkan kepada anak-anak bahawa usaha mereka tidak sia-sia.  Ini akan meyakinkan mereka yang mereka mampu melakukan sesuatu yang hebat dan mengajar mereka yang usaha itu adalah tangga kejayaan.

6. Biarkan dia pula yang mengajar anda
Kanak-kanak akan lebih berkeyakinan apabila percaya yang mereka mengetahui sesuatu yang anda tidak tahu.  Ada banyak perkara yang boleh dijadikan subjek asalkan ianya dapat menjadikan mereka sebagai pakar dalam subjek tersebut.  Galakkan mereka untuk berkongsi apa yang mereka tahu (tanpa bercakap besar) dengan anda dan orang lain. Hasilnya, mereka akan kelihatan lebih yakin.

7.  Kembangkan daya kreativiti mereka
Saya dapati ramai orang tidak merasakan diri mereka kreatif kerana mereka tidak pernah menerima galakkan untuk menjadi demikian.  Saya pernah terdengar, isteri saya berhenti sebelum meneruskan cerita yang dibacakannya untuk bertanya kepada anak lelaki saya "Apa yang abang rasa akan jadi selepas ini?".  Mendengarkan soalan itu, matanya terbuka luas.  Soalan-soalan mudah seperti ini berupaya mengejutkan bahagian otak anak-anak yang sedang pasif.

8. Tunjukkan keyakinan dalam tindakan anda
Nampak senang tetapi sebenarnya kita selalu terlepas pandang.  Sedar atau tidak, kita adalah teladan yang paling berpengaruh kepada anak-anak.  Jadi, bagaimana kita boleh mengharapkan anak-anak untuk mempunyai keyakinan diri yang tinggi sedangkan kita sendiri tidak mempunyai sikap tersebut?

9. Galakkan mereka untuk berkongsi masalah
Kalau anak anda yang berumur 7 tahun itu melenting setiap kali anda memandangnya, mesti ada sebabnya.  Biasanya kita akan mudah menghukumnya dan kemudiannya membiarkan hal tersebut berlalu begitu sahaja.  Namun, antara pendekatan yang lebih bijak adalah dengan duduk berbincang dengannya dan mencari punca sebenar yang menyebabkan dia marah (cara ini kenali sebagai "The Danny Tanner Method", diambil daripada siri TV popular 'Full House").  Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada mereka yang anda benar-benar mendengar.  Tindakan ini dapat memberikan kestabilan di dalam keluarga, yang mana ianya sangat penting untuk membuat anak merasa yakin dan selamat.

10. Biarkan mereka gagal
Tidak seperti kejayaan, kegagalan bukanlah sesuatu yang mudah diterima dan dihadam terutamanya apabila seseorang itu tidak biasa dengannya.  Ibarat kata pepatah "Alah bisa tegal biasa", seseorang itu perlu menempuh kegagalan berulang kali bagi membiasakan dirinya.  Bukan mudah untuk saya lakukan, namun kadang-kadang saya sengaja membiarkan anak-anak merasai kegagalan seperti ketika bermain Lego atau belajar mengayuh basikal. Mulanya mereka akan marah, tetapi bak kata Ann Landers , "Yang akan menjadikan anak-anak berjaya bukannya apa yang anda lakukan, tetapi apa yang anda ajarkan untuk mereka lakukan sendiri".

* Teks asal: https://drive.google.com/file/d/1IBDjR3i50o-nRlo4yT7M8AFyyqVcTZGj/view?usp=sharing

Comments

Popular posts from this blog

Memahami Egosentrisme Di Kalangan Kanak-Kanak

ADHD di Kalangan Kanak-Kanak

Rahsia Di Sebalik Minda ADHD