Rahsia Di Sebalik Minda ADHD

Dengan sistem saraf yang ada, kebanyakkan orang mampu untuk menentukan apa yang penting, lalu bermotivasi untuk melakukannya tanpa perlu timbul rasa minat.  Namun, ada pula segelintir orang yang seperti kami, dengan daya tumpuan yang lemah (ADHD atau ADD) dan minda yang berbeza.  

Oleh William Dodson, MD

"Attention Deficit Hyperactive Disorder" atau Kecelaruan Kurang Daya Tumpuan (ADHD/ADD) merupakan suatu kondisi yang mengelirukan, bertentangan, tidak konsisten dan mengecewakan.  Keadaan ini sudah sebati bagi mereka yang hidup dengan ADHD.  Kriteria diagnostik yang digunakan sejak 40 tahun lalu, menyebabkan ramai yang tertanya-tanya samada mereka mengalami keadaan ini atau tidak.  Untuk tujuan diagnosis, pakar-pakar menggunakan senarai semak yang panjang.  Sebagai contoh, terdapat 18 kriteria yang ada di dalam "The Diagnostic and Statistical Manual  of Mental Disorders" dan terdapat juga senarai lain yang mempunyai sehingga 100 kriteria untuk disemak.



Pengamal perubatan, termasuklah saya, sedang berusaha untuk menyediakan cara yang lebih mudah dan jelas untuk memahami kelemahan-kelemahan berkaitan dengan ADHD.  Kami sedang mencari "garisan terang dan jelas" yang mampu untuk mentakrifkan keadaan, menjelaskan punca kelemahan, dan menyediakan garis panduan untuk tindakan seterusnya.

Hasil kerja saya sejak sedekad yang lalu,  mendapati yang kita terlepas pandang pada sesuatu yang penting tentang sifat semulajadi minda ADHD.  Oleh itu, saya kembali mencari mereka yang pakar (iaitu ratusan individu dengan ADHD dan keluarga mereka yang pernah saya rawat) bagi  mengesahkan hipotesis saya itu.  Matlamat saya adalah untuk mengenal pasti ciri-ciri yang ada pada semua orang dengan ADHD tetapi tidak pada "neurotypical".

Saya berjaya menemuinya.  Ianya adalah sistem saraf ADHD yang merupakan, suatu ciptaan unik dan istimewa yang berfungsi mengawal daya tumpuan dan emosi dengan cara yang berbeza daripada sistem saraf yang ada pada orang biasa.

Zon ADHD
Hampir kesemua pesakit saya dan keluarga mereka ingin menggugurkan istilah Kecelaruan Hiperaktiviti Kurang Daya Tumpuan, kerana ia menjelaskan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang mereka alami.  Sukar dipanggil sebagai kecelaruan, bilamana terdapat banyak perkara positif yang ada padanya.  ADHD bukanlah suatu sistem saraf yang rosak mahupun cacat.  Sebaliknya, ia adalah satu sistem saraf yang berfungsi dengan sempurna berdasarkan peraturannya sendiri.

Sungguhpun ADHD dikaitkan dengan masalah pembelajaran, kebanyakan mereka dengan sistem saraf ADHD mempunyai IQ yang melangkaui tahap sederhana.  Mereka juga menggunakan IQ yang lebih tinggi itu dengan cara yang berbeza daripada orang-orang "neurotypical".  Apabila memasuki sekolah menengah, kebanyakkan mereka mampu untuk menyelesai masalah-masalah yang sukar diselesaikan oleh orang lain.

Ramai di antara orang dewasa dengan sistem saraf ADHD tidak kelihatan hiperaktif.  Sebaliknya, hiperaktif itu berlaku di dalam diri mereka.  Daya tumpuan mereka pula tidak lemah.  Akan tetapi, mereka memberi terlalu banyak tumpuan kepada semua benda.  Kebanyakan mereka dengan ADHD yang tidak diubati, mempunyai empat atau lima perkara yang berlaku serentak di dalam minda mereka.  Oleh itu, tanda utama bagi sistem saraf ADHD bukannya daya tumpuan yang kurang, sebaliknya adalah daya tumpuan yang tidak konsisten.

Kesemua mereka dengan ADHD mengetahui yang mereka boleh "memasuki zon" tersebut sekurang-kurangnya empat atau lima kali dalam sehari.  Semasa berada di dalam zon ini, mereka tidak mengalami sebarang kekurangan, dan kelemahan fungsi eksekutif yang ada sebelumnya lenyap.  Mereka sedar akan kepandaian dan kebijaksaan yang dimiliki, tetapi mereka tidak pasti sama ada kebolehan itu akan datang apabila diperlukan.  Gejala dan kelemahan yang datang dan pergi sepanjang hari adalah ciri penentu bagi ADHD.  Bagi mereka, keadaan ini sememangnya membingungkan dan mengecewakan.

Mereka dengan ADHD,  selalunya akan memasuki zon ini apabila mereka tertarik dan berminat dengan apa yang sedang dilakukan.  Saya menamakannya sebagai sistem saraf berasaskan minat.  Kawan-kawan dan ahli keluarga yang gemar menghukum menganggap mereka sebagai orang yang tidak boleh dipercayai atau mementingkan diri.  Kalau ada kawan-kawan yang berkata, "awak buatlah apa yang awak suka", mereka sebenarnya sedang bercakap tentang sifat sebenar sistem saraf ADHD.

Mereka dengan ADHD juga dapat memasuki zon ini apabila dicabar atau dicampak ke dalam persekitaran yang kompetitif.  Kadang-kadang tugasan baharu atau menarik dapat mencuri perhatian mereka.  Namun begitu, sesuatu yang baharu tidak kekal, dan segala yang baharu akan menjadi lama.

Kebanyakkan mereka dengan sistem saraf ADHD mampu melakukan pelbagai tugasan dan kita boleh menilai kemampuan mereka apabila tugasan itu penting, misalnya tugasan dengan "do-or-die deadline".  Oleh itu, sifat suka berlengah-lengah merupakan suatu kelemahan umum bagi mereka dengan ADHD.  Mereka ingin menyiapkan tugasan yang diberi, tetapi sukar untuk memulakannya sehinggalah ianya menjadi menarik, mencabar dan penting.

Bagaimana Pula Minda Orang Lain Berfungsi
90 peratus daripada semua orang di dunia ini tidak mengalami ADHD dan mereka dikenali sebagai "neurotypical".  Ini tidak bermaksud yang mereka itu "normal" ataupun lebih baik.  Sifat neurologi mereka telah diterima dan diakui oleh masyarakat umum.  Walaupun membantu, mereka dengan sistem saraf “neurotypical” tidak perlu merasa tertarik atau tercabar mahupun teruja untuk melakukan sesuatu tugasan.

Golongan "neurotypical" menggunakan 3 faktor berbeza dalam menentukan apa yang hendak dibuat, bagaimana untuk memulakan dan menyudahkannya:

1. Konsep kepentingan (mereka berfikiran yang mereka perlu menyempurnakannya).

2. Konsep kepentingan sekunder (mereka merasa bersemangat kerana orang lain merasakan perkara itu penting, contohnya ibubapa, guru, ketua atau orang mereka sayang).

3. Konsep ganjaran bagi melakukan sesuatu, dan konsep akibat/hukuman untuk tidak melakukannya.

Seseorang dengan sistem saraf ADHD tidak akan berupaya untuk menggunakan konsep kepentingan atau ganjaran bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugasan.  Mereka sedar apa yang penting, mereka suka ganjaran, dan mereka juga tidak suka hukuman.  Akan tetapi, perkara-perkara yang memotivasikan orang lain tidak memberi sebarang makna buat mereka.

Ketidakupayaan untuk memotivasikan diri menggunakan konsep kepentingan dan ganjaran mempunyai kesan yang panjang ke atas kehidupan mereka dengan ADHD.

Bagaimana mereka hendak memilih dan membuat keputusan jika tidak mampu untuk menggunakan konsep kepentingan dan ganjaran kewangan untuk memotivasikan diri?

Bagaimana pula mereka boleh membuat keputusan penting jika konsep kepentingan dan ganjaran tidak membantu dalam membuat keputusan atau memotivasikan diri untuk melaksanakan apa yang telah diputuskan?

Kefahaman ini menjelaskan mengapa tiada sebarang terapi kognitif ataupun tingkah laku yang digunakan untuk menangani gejala ADHD  mampu memberikan faedah jangka panjang.  Para penyelidik berpendapat bahawa ADHD berpunca daripada sistem saraf yang rosak atau cacat.  Sebaliknya saya pula berpandangan, ADHD timbul daripada suatu sistem saraf yang berfungsi sempurna dengan caranya yang tersendiri.  Malangnya, cara ia berfungsi tidak seiring dengan peraturan atau teknik yang diajar dan digalakkan dalam dunia "neurotypical".  Oleh itu:

Mereka dengan ADHD tidak sesuai untuk belajar di sekolah biasa, di mana mereka diajar untuk mengulangi apa yang orang lain rasakan penting dan releven.

Mereka dengan ADHD tidak menyerlah dalam pekerjaan yang biasa, di mana mereka dibayar untuk melakukan apa yang orang lain (biasanya, ketua) fikirkan penting.

Mereka dengan ADHD bekerja dengan cara yang tidak teratur, kerana hampir semua sistem organisasi diasaskan atas dua perkara, iaitu pengurusan keutamaan dan masa,  di mana mereka dengan ADHD tidak dapat melakukannya dengan baik.

Mereka dengan ADHD sukar untuk membuat pilihan, kerana semua pilihan tidak penting.  Bagi mereka, semua pilihan yang ada kelihatan sama sahaja.

Mereka dengan sistem saraf ADHD mengetahui, sekiranya terlibat dengan sesuatu tugasan, mereka mampu melakukannya.  Sebenarnya, mereka dengan sistem saraf ADHD cerdik dan pintar.   Yang menjadi masalah utamanya adalah mereka telah diberikan buku manual "neurotypical" sejak lahir lagi.  Ia berguna untuk orang lain, tetapi pada mereka tidak.

Jangan Ubah Individu Dengan ADHD Menjadi "Neurotypical"
Kefahaman yang baharu ini mempunyai kesan yang amat besar.  Perkara yang perlu dilakukan terlebih dahulu adalah memastikan jurulatih, doktor dan pakar berhenti daripada cuba untuk mengubah mereka dengan ADHD ini menjadi "neurotypical".  Campur tangan awal ini perlu bagi mengelakkan seseorang itu daripada merasa kecewa dan lemah semangat akibat bergelut di dalam dunia "neurotypical", di mana mereka diberikan beban yang berat.  Apabila pendekatan-pendekatan lain gagal, pendekatan terapeutik mungkin berhasil, tetapi mesti mempunyai dua kaedah:

Kaedah pertama adalah dengan menangani masalah neurologi melalui penggunaan ubat, supaya individu dengan ADHD dapat menguatkan daya tumpuan, mengawal gerak hati, dan merasa lebih tenang.  Bagi kebanyakkan orang, kaedah ini memerlukan penggunaan dua jenis ubat yang berbeza.  Ubat perangsang digunakan bagi memperbaiki pencapaian seharian dan membantu menyelesaikan tugasan yang diberi.  Namun, ubat ini tidak berkesan untuk menenangkan rasa gemuruh yang dialami oleh kebanyakkan mereka dengan ADHD.  Untuk ini, penggunaan salah satu daripada ubat "alpha agonist" (seperti clonidine/Kapvay atay guanfacine/Intuniv) disamping ubat perangsang dapat membantu.

Sungguhpun begitu, penggunaan ubat sahaja tidak cukup.  Seseorang boleh mengambil ubat yang sesuai pada dos yang betul, tetapi tiada yang akan berubah jika dia masih menggunakan strategi "neurotypical" bila berhadapan dengan sebarang tugasan.

Kaedah kedua pengurusan simptom ADHD adalah dengan menyuruh mereka menyediakan buku manual sendiri. Buku manual umum yang ditulis untuk kegunaan orang biasa telah mengecewakan mereka.  Seperti orang lain, mereka dengan ADHD turut membesar dan matang mengikut peredaran masa.  Sesuatu yang pernah menguja dan mencabar mereka sewaktu berusia 7 tahun, tidak mungkin dapat memberikan kesan yang sama setelah mereka meningkat dewasa.

Buat Peraturan Anda Sendiri
Buku manual ADHD mestilah dibuat berdasarkan kejayaan semasa.  Bagaimana anda dapat memasuki zon itu sekarang?  Apakah keadaan yang membuatkan anda berjaya dan maju hari ini?  Jangan fokus pada kelemahan, sebaliknya anda perlu mengenal pasti cara untuk memasuki zon itu dan berjaya melakukan tugasan tersebut.

Selalunya, saya mencadangkan kepada pesakit agar membawa bersama buku catatan atau pita perakam selama sebulan bagi mencatatkan atau menerangkan bagaimana mereka boleh masuk ke dalam zon itu.

Adakah kerana mereka tertarik?  Jika begitu, terangkan secara khusus, apakah yang ada di dalam tugasan atau situasi itu yang membuatkan mereka tertarik?

Adakah kerana mereka merasakan wujudnya persaingan?  Jika begitu, apa yang ada pada "pihak lawan" atau situasi itu yang mencetuskan rasa ingin bersaing?

Pada akhir bulan, kebanyakkan mereka berjaya mengumpul di antara 50 ke 60 teknik yang dikenal pasti boleh membantu mereka.  Lalu apabila diberikan tugasan dan melakukannya, mereka mula memahami bagaimana sistem saraf mereka berfungsi dan mengetahui teknik yang dapat membantu.

Atas usaha mereka yang berundur seketika dan memikirkan tindakan yang perlu diambil, saya telah menyaksikan kejayaan strategi-strategi ini dalam memberikan kesan positif kepada kepada mereka dengan ADHD.  Pendekatan ini bukannya cuba untuk mengubah mereka dengan sistem saraf ADHD untuk menjadi “neurotypical” (bahkan itu mustahil), sebaliknya memberikan pertolongan yang berpanjangan hasil daripada kekuatan yang mereka miliki.

* Teks asal / original teks:

Comments

Popular posts from this blog

Memahami Egosentrisme Di Kalangan Kanak-Kanak

ADHD di Kalangan Kanak-Kanak