14 Tanda-Tanda "Attention Deficit Hyperactivity Disorder" (ADHD)?
Semakan perubatan oleh Timothy J. Legg, PhD, CRNP pada 27 Jun 2017 - Ditulis oleh Kumpulan Editorial Healthline
Apakah itu ADHD?
"Attention Deficit Hyperactivity Disorder" (ADHD), atau Kecelaruan Hiperaktiviti Kurang Daya Tumpuan, adalah gangguan kesihatan mental yang rumit yang boleh mempengaruhi prestasi anak anda di sekolah serta mutu pergaulan mereka. Terdapat pelbagai tanda-tanda ADHD dan kadangkala sukar untuk dikenal pasti.
Kebanyakkan gejala-gejala ADHD adalah perkara yang biasa dialami oleh semua kanak-kanak. Oleh itu untuk mengesan ADHD pada anak anda, doktor perlu menilai menggunakan beberapa kriteria. Diagnosis ADHD biasanya dibuat semasa usia kanak-kanak sedang meningkat remaja, dengan purata umur diagnosis adalah pada usia 7 tahun. Terdapat juga kanak-kanak yang lebih tua yang mungkin menunjukkan gejala ADHD, akan tetapi mereka selalunya mereka telah pun memperlihatkan gejala-gejala yang lebih teruk semasa kecil.
Berikut adalah 14 gejala-gejala ADHD yang biasanya dikesan pada kanak-kanak.
1. Sikap Mementingkan Diri - Kebiasaannya, kanak-kanak dengan ADHD akan kelihatan seperti tidak mampu untuk melihat keperluan dan keinginan orang lain. Hal ini boleh membawa kepada 2 gejala yang seterusnya.
2. Mengganggu - Sikap mementingkan diri ini boleh menyebabkan kanak-kanak dengan ADHD gemar menyampuk semasa orang lain bercakap ataupun mengganggu perbualan atau permainan yang tidak melibatkan mereka.
3. Sukar Menunggu Giliran - Kanak-kanak dengan ADHD mungkin menghadapi masalah dalam menunggu giliran semasa menjalankan aktiviti kelas atau ketika bermain bersama kanak-kanak lain.
4. Masalah Untuk Mengawal Emosi - Kanak-kanak dengan ADHD mungkin menghadapi masalah untuk mengawal emosi mereka. Mereka mungkin marah pada waktu yang tidak sesuai. Bagi mereka lebih muda mungkin akan lebih cepat marah dan mengamuk.
5. Rasa Resah - Kanak-kanak dengan ADHD seringkali tidak boleh duduk diam. Mereka akan cuba bangkit dan berlari, resah atau menggeliat di atas kerusi mereka apabila dipaksa duduk.
6. Bising Ketika Bermain - Keresahan yang ada boleh menyebabkan kanak-kanak dengan ADHD sukar untuk bermain dengan senyap atau tenang apabila terlibat dalam aktiviti riadah.
7. Sukar Menyiapkan Tugas - Seorang kanak-kanak dengan ADHD mungkin menunjukkan minat dalam beberapa perkara yang berbeza, tetapi mereka juga mungkin mempunyai masalah menyelesaikannya. Sebagai contoh, mereka boleh memulakan projek, kerja rumah, atau kerja sekolah, tetapi mereka akan mudah tertarik untuk memulakan sesuatu yang baharu tanpa menyudah tugasan yang sedang dibuat.
8. Kurang Daya Tumpuan - Seorang kanak-kanak dengan ADHD mungkin menghadapi masalah dalam memberi perhatian, walaupun anda bercakap betul-betul di hadapannya. Mereka akan kata yang mereka mendengar, tetapi tidak akan dapat mengulangi apa yang anda katakan tadi.
9. Mengelak Daripada Memerah Otak - Kurangnya daya tumpuan boleh menyebabkan kanak-kanak seperti ini mengelakkan diri daripada terlibat aktiviti yang memerlukan penggunaan mental yang berpenjangan, seperti memberi perhatian dalam kelas atau melakukan kerja rumah.
10. Kerap Melakukan Kesalahan - Kanak-kanak dengan ADHD mungkin akan menghadapi masalah untuk mengikut arahan yang memerlukan mereka untuk merancang dan melaksanakan sesuatu pelan. Seterusnya, boleh membawa kepada kesilapan yang kecil, tetapi ia tidak bermakna seseorang itu malas atau kurang cerdas.
11. Gemar Mengelamun - Bukan semua kanak-kanak dengan ADHD cepat marah dan bising. Terdapat juga kanak-kanak yang pendiam dan kurang bergaul dengan kanak-kanak lain. Seorang kanak-kanak dengan ADHD mungkin juga suka merenung ke langit, mengelamun, dan mengabaikan apa yang berlaku di sekelilingnya.
12. Bermasalah Untuk Mengatur - Seorang kanak-kanak dengan ADHD mungkin menghadapi masalah untuk mengatur kerja dan aktivitinya. Ini boleh menimbulkan pelbagai masalah di sekolah, kerana mereka sukar untuk memberi keutamaan dan mengatur kerja rumah, projek sekolah, dan tugasan-tugasan yang lain.
13. Sering Lupa - Kanak-kanak dengan ADHD mungkin mudah lupa akan aktiviti-aktiviti harian mereka. Mereka mungkin terlupa untuk melakukan kerja rumah atau kerja sekolah. Mereka juga mungkin kerap kehilangan banyak perkara, contohnya permainan.
14. Gejala Yang Sama , Keadaan Berbeza - Seorang kanak-kanak dengan ADHD akan menunjukkan tanda-tanda yang sama dalam persekitaran yang berlainan. Sebagai contoh, mereka mungkin mengalami masalah untuk memberikan tumpuan di sekolah dan juga di rumah.
Langkah seterusnya
Pada suatu ketika, semua kanak-kanak akan mempamerkan beberapa tingkah laku yang ada di atas. Bagaimanapun, anda perlu memikirkan langkah-langkah seterusnya jika:
- Anak anda kerap memperlihatkan gejala-gejala ADHD
- Tingkah laku ini menjejaskan pencapaian mereka di sekolah dan membawa kepada interaksi negatif dengan rakan sebaya mereka
ADHD boleh dirawat. Sekiranya anak anda didiagnosis dengan ADHD, pertimbangkan semua kaedah rawatan yang ada. Kemudian, tetapkan masa untuk bertemu dengan doktor atau pakar psikologi bagi menentukan langkah susulan yang terbaik.
Teks asal/original text:
Comments
Post a Comment