Bila Si Kecil Mencari Perhatian: Yang Boleh & Tidak Boleh Ibubapa Buat

Tulisan asal oleh: Dr. Joan Simeo Munson

Biarpun dia baharu berumur 3 tahun, Malory sudah mahir untuk mendapatkan perhatian ibubapanya.  Apabila dia inginkan aiskrim sebelum waktu makan malam tiba, dia akan berpaut sambil merengek pada kaki ayahnya yang sedang memasak.  Dia tidak akan berhenti sehinggalah ayahnya mengalah; sudah pasti si ayah tadi akan berbuat apa sahaja asalkan Malory berhenti.  Apabila dia enggan masuk tidur, dia akan berlari di dalam rumah sambil dikejar ibubapanya sehinggalah mereka kepenatan lalu membiarkan dia berjaga untuk satu jam yang berikutnya.  Juga, apabila Malory ingin menonton video, walaupun setelah banyak kali ditegah, dia akan menjerit sehingga dia dapat apa yang diinginkan.  Mengapa anak-anak kecil selalu mencari perhatian dengan cara yang menjengkelkan?  Mengapa pula, kita sebagai ibubapa seringkali mengalah?
image: www.behaviourwall.com
Mula-mula sekali, kita perlu sedar bahawa tingkah laku untuk mencari perhatian (seperti merengek, menangis dan menjerit) adalah perkara yang normal dalam perkembangan kanak-kanak.  Kanak-kanak yang berumur 3 ke 7 tahun ternyata masih belum mampu untuk mengatur keperluan dan kehendak mereka sebelum meluahkannya.  Jadi, cara yang paling mudah bagi mereka untuk berkomunikasi adalah dengan memulakan tingkah laku yang boleh mendapatkan perhatian – selalunya bising dan kerap.  Terdapat banyak sebab mengapa mereka mencari perhatian: mereka bosan, penat, lapar ataupun sememangnya inginkan perhatian setelah seharian di sekolah atau pusat asuhan.  Jalan penyelesaiannya bukanlah dengan memikirkan mengapa mereka berkelakuan begitu, sebaliknya adalah dengan mempelajari cara untuk bertindak balas terhadap tingkah laku mereka.

Ada beberapa perkara yang boleh dan tidak boleh anda buat, apabila si anak cuba mendapatkan perhatian.

Yang Boleh……..

Bersifat Empati Bukannya mudah untuk mengumpul rasa empati dan kebaikan di dalam diri tatkala anda merasa sangat tidak selesa dengan tingkah laku si anak; tetapi setelah anda menyedari tahap perkembangannya, anda akan lihat apa yang dia boleh (dan tidak boleh) lakukan.  Empati tidak bermaksud yang anda memahami tingkah laku mereka, akan tetapi menyedari yang kelakuan tersebut berpunca daripada perkembangannya yang masih belum matang.

Belajar Untuk Membiarkan.  Ini bukannya bermaksud anda perlu selalu mengabaikan setiap aspek di dalam tingkah lakunya yang inginkan perhatian itu!  Namun, kita boleh memberitahunya yang dia tidak akan dapat apa yang diminta dengan merengek, dan anda hanya akan bercakap semula dengannya setelah dia bertenang.

Sediakan Pelan.  Jelaskan kepada mereka perbezaan di antara kecemasan yang sebenar (di mana perhatian segera anda amat diperlukan) dengan perbuatan yang dibuat-buat kerana inginkan sesuatu.  Mempunyai sistem yang membolehkan si anak memberi isyarat apabila berlaku suatu perkara penting, boleh memberi manfaat kepada semua.  Terangkan kepada mereka akan tujuannya.  Contohnya, jika air melimpah dari sinki di tingkat atas, atau apabila ada adik-beradik lain sedang curi-curi untuk keluar, ini memerlukan perhatian segera.  Menggunakan kata-kata khas apabila berlaku kecemasan (seperti “Kod Merah”) akan membantu anak anda membezakan antara kecemasan dan sekadar untuk mencari perhatian.

Buat Peraturan dan Tampalkan.  Salah satu cara untuk menghentikan tingkah laku untuk mendapatkan perhatian adalah dengan menjelaskan kepada anak anda apa yang anda harapkan.  Anda boleh lakukan ini dengan membuat satu “Carta Peraturan”.  Ajak mereka untuk membantu anda membuatnya, dan kemudian tampalkannya di satu tempat yang mudah mereka lihat.  Barangkali mereka tidak membacanya, tetapi melihatnya sudah cukup untuk mengingatkan mereka akan peraturan-peraturan yang telah dipersetujui bersama.

Sebagai contoh, anda boleh masukkan peraturan-peraturan ini ke dalam carta tersebut:  tidak boleh merengek, tidak boleh menjerit, tidak boleh lari bila dipanggil.  Bagi setiap peraturan, tuliskan hukumannya sekali, contohnya: pengasingan selama 5 minit, masuk tidur 10 minit lebih awal, dan masa menonton televisyen dikurangkan.  Sudah pasti si anak akan lupa, tetapi dengan adanya carta peraturan tersebut akan memudahkan anda untuk berkata, “Maaf ya, peraturan kata tak boleh menjerit.  Jadi, malam ni, adik tak boleh tengok TV”.

Konsisten.  Halangan terbesar bagi ibubapa untuk menghentikan tingkah laku yang mencari perhatian sebenarnya bermula daripada sikap ibubapa yang tidak konsisten semasa melaksanakan tindakan terhadap tingkah laku anak tersebut.  Ibubapa selalu mengalah kerana penat, kecewa atau sekadar mahukan si anak itu diam.  Sungguhpun ia mudah difahami, namun jangan tersilap: anak anda sebenarnya merakamkannya di dalam minda setiap kali anda mengalah kepada permintaannya.  Ini akan menggalakkannya bagi mengulangi perbuatan ini apabila mereka inginkan sesuatu kelak, bahkan kali ini dia akan menggandakan usahanya untuk menarik perhatian anda demi menyempurnakan hajatnya.  Tiada siapa yang akan mendapat manfaat sekiranya anda menyalahkan diri sendiri kerana tidak dapat melakukan segala-galanya, oleh itu berlaku adillah kepada diri anda sendiri. 

Yang Tidak Boleh………..

Menengkingnya.  Kita mudah terdorong untuk membiarkan emosi mempengaruhi tindakan terutamanya apabila si anak merengek tanpa henti atau kita sendiri dalam kepenatan ataupun sudah kehabisan idea untuk memujuknya.  Sediakan satu pelan tindakan untuk keluar daripada situasi itu apabila anda mula merasa marah.  Jika anak anda tidak berhenti, katakan terus padanya, “Ibu nak rehat sekejap sebab kamu asyik merengek.  Nanti ibu akan datang semula selepas 5 minit.”  Pergilah ke suatu tempat yang sunyi, bersenam sedikit dan tarik nafas dalam-dalam sehingga anda merasa tenang untuk kembali berhadapan dengannya.

Membuatkan Dia Rasa Bersalah.  Tugas mengimbangi tanggungjawapnya terhadap anak-anak, pasangan, ahli keluarga termasuk keluarga pasangan amat memenatkan.  Biasalah sekiranya ada masanya ibubapa menghadapi kesulitan ketika berhadapan dengan tingkah laku anak yang mencari perhatian itu.  Tetapi, segala isu yang orang dewasa hadapi tidak sepatutnya dikongsi dengan anak-anak.  Kita sering teruja untuk meluahkan kepayahan yang sedang lalui kepada anak-anak (masalah di tempat kerja, dengan jiran mahupun pertengkaran dengan pasangan), bagi menimbulkan rasa bersalah dalam diri mereka agar mereka berubah.  Namun, maklumat-maklumat ini hanya akan membuatkan mereka bertambah tertekan dan bimbang.  Sedarilah bahawa, tidak menjadi masalah sekiranya ibubapa berkata, “Ayah sibuk siang tadi, sekarang kepala ayah sakit. Boleh tak kalau kamu berhenti merengek atau kamu duduk diam-diam di sana.”  Anda boleh memberitahunya yang anda sedang kepenatan, tetapi tidak perlulah anda ceritakan semuanya.

Menganggap Ada Sesuatu Yang Tidak Kena.  Ramai ibubapa tersilap apabila beranggapan bahawa tingkah laku anak yang mencari perhatian ini sebagai petanda kepada masalah yang lebih serius, lantas mereka bimbang.  Sebenarnya, apabila kanak-kanak melalui satu tahap perkembangan, kebanyakkannya akan berkelakuan begini.  Yang penting, adalah cara ibubapa bertindak balas, dan sejauh mana ibubapa bersikap konsisten dalam melaksanakan tindakan susulan.  Pastinya, jika anda telah melakukan segala cadangan yang ada di sini, atau anak anda melakukan sesuatu yang membahayakan dirinya atau orang lain, bersegeralah untuk mendapatkan nasihat daripada pakar.

Kekalkan Pendirian.  Anda tidak perlu berada di sisinya setiap kali si anak inginkan sesuatu.  Ada ibubapa yang merasa bersalah, ataupun bimbang si anak akan merasa dirinya tidak disayangi sekiranya mereka tidak melayan tingkah laku mereka itu.  Sebaliknya, ibubapa yang cemerlang akan mengajar si anak bahawa bukan semua kemahuannya akan dituruti.  Sekiranya anda sentiasa “on call” untuk melayan permintaannya, maka dia tidak akan belajar tentang nilai kesabaran, kepentingan untuk menunggu giliran serta menyedari yang dia bukanlah raja yang mesti dipenuhi segala hajatnya.  Ibubapa berisiko untuk membesarkan anak yang mementingkan diri sehinggalah dia dewasa kelak.

Tingkah laku yang mencari perhatian ini boleh menjadi sesuatu yang menjengkelkan dan menyukarkan ibubapa untuk menanganinya.  Namun sedarlah yang dia sedang melalui satu tahap yang normal dalam perkembangannya sebagai kanak-kanak dan seperti banyak perkara lain, ini juga akan berlalu.  Dengan perhatian dan kasih sayang yang konsisten serta memahami harapan anda, anak anda akan membesar seperti biasa.


Tentang Dr. Joan Simeo Munson
Dr. Joan Simeo Munson memperoleh Ph.D. dalam Psikologi Kaunseling daripada University of Denver.  Beliau pernah bekerja denngan individu-individu dalam tahanan, para keluarga, orang dewasa serta pelajar-pelajar kolej dari pelbagai institusi, termasuklah pusat tahanan, pusat kesihatan mental komuniti, pusat kaunseling di universiti dan hospital.  Beliau juga mempunyai pengalaman dalam bidang kaunseling individu, kumpulan dan pasangan.  Kini, beliau membuka sebuah klinik persendirian di Boulder yangi mana pengunjungnya terdiri daripada orang dewasa, pasangan dan remaja.

Teks asal/original text:
https://drive.google.com/file/d/1oPSoVz2o8JTkzBbHIBOPeQjUrPRbSnlJ/view?usp=sharing



Comments

Popular posts from this blog

Memahami Egosentrisme Di Kalangan Kanak-Kanak

ADHD di Kalangan Kanak-Kanak

Rahsia Di Sebalik Minda ADHD