Mengapa Anak Kecil Mengamuk

Tulisan Asal Oleh: Patty Onderko

Kajian menjelaskan mengapa kanak-kanak mengamuk dan puncanya.

Bersama anak kembar yang berusia 3 tahun, saya menyusuri tangga yang curam di stesen keretapi bawah tanah dan berjaya mengharungi empat kali pertukaran keretapi sebelum selamat tiba di Museum of Natural History di Manhattan.  Saya sempat mengambil gambar mereka di hadapan rangka Apotosaurus yang sangat besar itu dan bercerita tentang zaman Jurasic kepada mereka (mungkin banyak yang salah, tapi tak kisahlah tu). “Saya seorang ibu yang hebat! Terbaiklah”


image: uldissprogis.com
Bagi melengkapkan hari yang istimewa itu, saya berhasrat untuk membelikan permainan yang ada dijual di kedai cenderahati untuk mereka.  Theo, anak saya itu inginkan angkasawan, jadi saya bawakan dia ke sudut angkasa dan membiarkan dia memilih antara tiga mainan yang bertemakan angkasawan (Bagus betul saya ni, beri anak peluang untuk buat pilihan). “Bukan yang ini”, dia mula merengek.”Tapi sayang, inilah angkasawan,” jelas saya sambil menuding jari ke arah patung-patung kecil yang memakai topi angkasawan.  “Bukan!” Habis bertaburan semua mainan yang ada di tangan saya setelah dipukulnya dan kemudian dia mula menangis.  Setelah sepuluh minit berlalu, selepas dia menghentakkan kakinya ke atas sekotak aiskrim, saya mengendong keduanya keluar dari kedai tersebut.  “Sayalah ibu yang paling tidak berguna”, saya berbisik sambil menahan rasa malu, penat dan hampir menangis.

Rupanya, kejadian di muzium itu bukanlah salah saya sahaja, tetapi ia tidak bermakna yang anak saya “nakal”.  Micheal Potegal (Ph.D.) adalah seorang pakar neuropsikologi kanak-kanak dari University of Minnesota di Minneapolis, dan beliau di penghujung kerjaya professionalnya telah membuat kajian tentang sikap pemarah pada anak kecil, serta bagaimana dan kenapa mereka memiliki ledakan emosi yang agak ganas ini.  Jadi, apakah yang ditemuinya?  Beliau mendapati bahawa amukan kanak-kanak itu adalah suatu tindak balas biologi yang normal apabila marah dan kecewa, sama seperti kita menguap apabila mengantuk.  Terlalu normal sehinggakan dengan memerhatikan tingkahlaku tersebut, kita boleh membuat rumusan saintifik serta meramalkan setiap tindakan mereka  Menurutnya, memang biasa bagi untuk anak kecil dari umur 18 bulan ke 4 tahun untuk berkelakuan agak keterlaluan.  Maka, ini bermakna ‘asuhan’ (contohnya anda) tidak boleh selalu dipersalahkan.

Si Lembut Yang Mendalanginya: Ada Di Dalam Kepala Si Anak

Mari kita jengah sebentar ke dalam otak manusia, kemudian berhenti pada satu gumpalan kecil berwarna kelabu di belakang kening yang dikenali sebagai korteks prefontal (PFC).  Ini adalah bahagian otak yang mengawasi emosi dan mengawal tingkah laku seseorang.  Ini juga merupakan bahagian otak yang terakhir berkembang; ia hanya mula matang apabila si anak mencecah usia 4 tahun.  Menurut satu laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Univeristy of Pennsylvinia, bahagian yang belum matang itu – yang menjadikan kerja mengasuh anak kecil sangat sukar – mungkin menyumbang kepada perkembangan penting dalam penguasaan bahasa (alat sosial terpenting yang manusia ada).  Laporan itu berpendapat bahawa PFC yang sedang berkembang itulah yang membolehkan kanak-kanak menguasai bahasa baharu dengan lebih mudah berbanding orang dewasa.  Ringkasnya, tingkah laku anak-anak yang selalu kurang menyenangkan adalah satu tukaran yang berharga bagi memperkuatkan kemahirannya berkomunikasi.

Baiklah, ada bahagian lembut dalam otak mereka yang menyebabkan mereka terdedah kepada luahan emosi yang tidak rasional, akan tetapi terdapat satu faktor lagi yang mempengaruhi tingkah laku mereka; tekanan.  “Anak-anak pada usia ini berfikir secara magik, bukannya logik,” kata Gina Mireault, Ph.D., seorang professor dalam bidang psikologi di Johnson State College di Vermont.  “Sesuatu yang kita anggap biasa, boleh menjadi perkara yang mengelirukan dan menakutkan bagi mereka.  Mereka masih belum memahami tiada apa yang akan berlaku jika mereka tidur sendirian pada malam hari atau memasuki bilik yang gelap.”  Bayangkan sekiranya anda tidak pasti tentang sesuatu, anda juga pasti akan merasa bingung dan cemas – ianya berlaku setiap hari.

Rangsangan yang memuncak ini akan menyebabkan badan kita mengeluarkan kortisol, dikenali sebagai hormon “melawan atau mengalah”.  Mungkin juga ia wajar dipanggil sebagai 'tantrum juice'.  Kortisol bertindak meningkatkan tekanan darah, mempercepatkan pernafasan dan mungkin boleh mendorong fikiran menjadi keliru dan kabur (bunyi macam anda kenal orangnya).  Biasanya perasaan bimbang ini berkembang secara sederhana, namun tidak bagi kebimbangan atau stress yang kronik – “ada sesuatu ke dalam bilik ni”; ia boleh merubah kanak-kanak menjadi seperti sebekas kayu api yang marak menyala walaupun disebabkan oleh provokasi yang kecil.

Bagaimana Hendak Menangani Kanak-Kanak ‘Tasmanian’

Apabila anak anda mengamuk lagi, Potegal mencadangkan agar anda bertanya kepada diri sendiri, “Untuk apa dia mengamuk?”  Sekiranya si anak tadi mahukan perhatian ataupun sesuatu (mainan, makanan atau layanan istimewa), maka cara terbaik untuk bertindak balas adalah dengan membiarkan karenah tersebut dan mengekalkan ketenangan emosi yang anda miliki.  Kawan saya Mana Heydarpour dari New York, mempelajarinya selepas melalui satu pengalaman yang pahit.  Dia pernah diherdik oleh anaknya, Ella yang baru berusia 3 tahun, apabila dia melarang anaknya itu daripada menonton rancangan TV kegemarannya. “Saya benci ibu, tak suka ibu!” jerit Ella.  “Pada masa itu, saya betul-betul naik angin dan tidak mampu menahan diri lalu saya menengkingnya kembali,” ujar Heydarour.  Akibatnya, Ella terus mengamuk selama setengah jam.  Potegal menamakan ini sebagai ‘Anger Trap’“Kalau anda ikut sama marah dan bersikap tidak rasional seperti mereka, ini akan memburukkan keadaan,” katanya lagi.

Namun begitu, Potegal juga mengingatkan tentang satu lagi perangkap: ‘Sadness Trap’ “Apabila anda memujuk si anak yang sedang mengamuk, sebenarnya anda sedang menggalakkan tabiat buruk itu.  Sebaliknya katakan padanya ‘Ibu sedih tengok kamu marah. Nanti, bila rasa marah itu hilang ibu akan peluk kamu dan kita bincang tentangnya.’”  Dengan cara ini, anda memberikan dia sokongan dan simpati, sambil mengajar dia bagaimana untuk mengawal emosinya.  “Sejak kejadian itu, saya saya belajar untuk berkata, ‘Ibu tak nak cakap dengan kamu kalau kamu terus berperangai macam ini,’” kata Heydarpour.  “Ella akhirnya dapat bertenang dengan lebih cepat apabila saya berjaya berbuat demikian.”

Akan tetapi, kedua-dua strategi ini tidak boleh digunakan apabila si anak mengamuk kerena ingin mengelak daripada melakukan apa yang diarahkan (mengemas, duduk atau lain-lain).  Dalam keadaan ini, membiarkan dia hanya akan memenuhi kehendak hatinya: anda telah berhenti daripada menyuruh dia memakai baju, atau berhenti melakukan apa sahaja yang diarahkan.  Mengasingkan dia juga tidak akan berhasil, kerana bermula dari saat itu dia tidak perlu lagi menyarungkan bajunya.  “Setiap saat dia mendiamkan diri adalah kejayaan baginya,” kata Potegal.  Sebaliknya, anda boleh beritahunya jika dia masih tidak lagi menyarungkan baju itu, anda akan pegang tangannya dan bantu dia melakukannya.  Andainya masa yang diberi tamat dan si kecil masih enggan melakukannya, memang pun dia enggan, capai tangannya dengan lembut dan sarungkan baju itu kepada badannya.  “Ini memang sesuatu yang sukar,” aku Potegal, tetapi jangan berkasar.  Jika si anak itu mula memukul atau menggigit anda, teruskan sahaja dan kemudian asingkan dia supaya dia bertenang (ataupun boleh menarik semula kemudahan yang diberi, jika itulah yang biasa anda praktikkan).  Dengan cara itu, si anak akan belajar yang dia masih perlu memakai baju itu (maknanya bantahannya gagal) dan sekarang ada pula hukuman ke atas perbuatannya yang keterlaluan itu.

Anak-anak kecil adalah ciptaan Tuhan yang boleh memberikan kejutan walaupun ketika kita dalam keadaan paling tenang dan bersedia.  Walaupun begitu, ada sinar harapan di dalam mengharungi masa-masa yang sangat mencabar ini.   Sebagaimana dia mudah dilambung perasaan marah dan kecewa, sebenarnya mudah juga baginya untuk keluar daripada situasi itu.  Menurut kajian Potegal, kanak-kanak biasanya akan mengamuk untuk jangka masa lebih kurang 3 minit.  Oleh sebab itu, sejurus selepas mengamuk, si anak akan kembali bermain seperti tiada apa yang telah berlaku sedangkan anda masih lagi dibelenggu rasa terkejut walaupun selepas setengah jam peristiwa itu berlalu.  PFC yang kurang matang pada dirinya (bahagian lembut yang memproses isyarat sosial) membolehkan dia meneruskan kehidupannya tanpa mengingati kepahitan masa lalu.  “Amat mudah bagi kanak-kanak untuk beralih daripada rasa sedih kepada rasa gembira dan sebaliknya,” ujar Potegal.  Maka apabila marahnya telah reda,peluklah si kecil tadi sepuasnya dan kemudian bersedialah untuk pusingan yang seterusnya.

Sebuah Kisah Anak Kecil Yang Mengamuk

Setiap detik, inilah yang biasanya berlaku apabila si anak mengamuk

Saat pertama – Oh tidak!  Di dalam pasaraya. Ada anak kecil telah mula marah dan mengamuk

Saat ke 30 – Dia mula menghentakkan kakinya. Ah lega! Tandanya, ini tidak lama
Saat ke 90 – Sekarang dia menendang dan menjerit pula. Nampaknya dia betul-betul marah
Minit ke 3 ½ - Sekelip mata drama ini tamat. Anak kecil tadi mula bertenang
Minit ke 6 – Wah! Selamba sahaja dia, macam tiada apa yang terjadi.
Minit ke 10 – Kalau dia masih mengamuk, anda perlu bawa dia berjumpa doktor.

Comments

Popular posts from this blog

Memahami Egosentrisme Di Kalangan Kanak-Kanak

ADHD di Kalangan Kanak-Kanak

Rahsia Di Sebalik Minda ADHD