Mengurus Anak Yang Mengamuk Daripada Usia Kecil Hingga Awal Remaja

Tulisan Asal Oleh: Debbie Lincus MS LMHC

Kenapa ibubapa sukar untuk mengawal anak yang sedang mengamuk? Di sebalik tingkah laku si anak yang memekakkan, menjengkelkan dan memalukan, kita sering merasakan adalah tanggungjawab kita untuk memastikan mereka berkelakuan mengikut apa yang kita tetapkan. Jika tidak, kita akan menganggap diri kita sebagai ibubapa yang lemah. Kita juga tidak suka terhadap penilaian yang kita fikir orang lain akan berikan apabila melihat anak-anak kita berkelakuan di luar kawalan. Kita buntu, tetapi yakin sesuatu mesti dilakukan – maklumlah kita ini ibubapa mereka.

Image: childrensmediaassociation.wordpress.com

Hakikatnya, kita mahu mereka belajar bertenang dan berkelakuan “normal”.  Apabila mereka gagal, kerana masih belum mampu mengawal rasa kecewa di dalam diri, ada masanya boleh membuatkan kita turut sama marah, lalu menjadikan keadaan bertambah buruk.  Disaat kita merasa tidak berdaya, seringkali kita marah ataupun mengalah – lalu merasakan diri ini seperti dikawal oleh mereka.  Namun, kebimbangan yang ada di dalam dada tidak akan dapat dihilangkan dengan cuba mengawal perlakuan mereka.  Saya fikir, adalah lebih baik agar kita berusaha untuk mengawal perasaan lemah, malu dan kecewa di dalam diri ketika si anak sedang mengamuk.

Ada juga ibubapa yang bertanya apakah ada cara untuk mengelakkan anak-anak daripada mengamuk.  Saya fikir tiada – rasanya marah itu adalah sifat semulajadi manusia.  Kita sebagai orang dewasa pun ada masanya marah.  Kita akan hilang sabar apabila ada orang memintas dengan tiba-tiba semasa kita memandu, ataupun bila anak enggan menurut kata.  Kematangan bermaksud berupaya menangani emosi dengan lebih efektif, dan ianya adalah satu proses yang sangat panjang.  Saya berpendapat, kita tidak boleh mencegah mereka daripada mengamuk, tetapi kita boleh mempengaruhi berapa kerap dan berapa lama mereka akan mengamuk dengan mengurus cara kita bertindak.

Saya fikir, apabila si anak merasai yang kita mahukan mereka berkelakuan mengikut “cara kita” supaya kita berasa tenang, secara semulajadinya mereka akan menjadi sedikit melawan.  Anda akan melihat suatu sikap yang seolah-olah mencabar kewibawaan anda sebagai orang tuanya.  Akhirnya, mereka akan meraung dengan lebih kuat dan menjadikan keadaan bertambah kecoh.

Kita akan menjadi tidak selesa apabila melihat anak kita merasa payah, kecewa atau tidak selesa, dan perasaan kita itu berpotensi untuk memburukkan keadaan.  Akibatnya, kita akan mudah terdorong untuk mengawal kebimbangan yang ada dalam diri kita itu.  Apabila kita menjerit atau mengalah, kita sebenarnya hanya melegakan ketegangan pada diri, dan bukannya membantu mereka belajar untuk mengawal diri mereka sendiri.

Apabila Si Anak Mengamuk di Tempat Awam

Apabila anak mengamuk di hadapan orang, sebagai ibubapa kita akan merasa sangat malu.  Saya faham perasaan itu – itu reaksi biasa.  Kita selalu beranggapan bahawa ibubapa yang baik mempunyai anak yang berkelakuan baik setiap masa, jadi kita beranggapan yang orang lain juga berfikiran begitu.  Namun menurut James Lehman, pengasas Total Transformation, “Anda bukannya seorang tukang tilik.  Jika anda cuba untuk membaca fikiran orang, 95 peratus daripada masanya anda akan menemui sesuatu yang negatif di sana.  Ini kerana apabila kita dalam keadaan negatif, kita akan menganggap pandangan orang lain sebagai sesuatu yang negatif”.

Mari kita renungkan: Yang mengamuk itu bukan kita, sebaliknya yang sedang mengamuk itu adalah anak kita. Bila ini berlaku, sangat mudah untuk kita terpengaruh oleh perasaan marah mereka, tetapi percayalah, anak kita yang sedang mengamuk.  Di saat ini tanyalah diri, “Yang manakah lebih penting, pandangan orang atau apa yang saya fikir seorang ibu atau bapa yang efektif akan lakukan?”

Sekiranya anda berada tempat awam atau sedang bersama orang lain, katakan sahaja kepada mereka yang anak anda mempunyai masalah dan keluarlah dari situasi tersebut dengan baik.  Beredar dari sana, pergi ke kereta atau pulang terus ke rumah. Dengan pantas, buatlah apa sahaja yang anda rasakan sesuai. Ingat, anda tidak mahu memberi perhatian kepada kemarahan mereka, sama ada secara positif ataupun negatif. 

Apa Yang Perlu Dibuat Sebelum Si Anak Mengamuk Lagi

Berpegang Pada Prinsip:  Tenangkan diri, duduk dan fikirkan apakah tindakan anda apabila berada di dalam keadaan yang sangat tertekan.  Ini sangat penting, kerana sekiranya anda hanyut dilambung “keadaan emosi semasa”, anda akan lebih mudah untuk naik angin.  Rancanglah tindakan anda dan bayangkannya.  Apabila mereka mengamuk nanti, buatlah seperti yang telah dirancang.  Ia memerlukan sedikit latihan, tapi lambat laun anda pasti dapat melakukannya.

Kenal Pasti Kemampuan: Jangan terlalu berharap.  Ketahuilah kemampuan kita – dan anak kita.  Jika kita memberi lebih daripada satu arahan dalam satu masa, kebanyakkan anak-anak tidak dapat mengikutinya.  Bagi mereka yang agak dewasa, beritahu mereka apa yang anda harapkan agar mereka lebih bersedia.  Anda boleh berkata, “Kalau kamu berguling atau menjerit sebab nakkan sesuatu, inilah yang akan berlaku”.  Beritahu dia tentang akibatnya – dan bertegaslah.  Sekiranya anda pergi membeli-belah dan dia inginkan semua yang dilihatnya, bawalah sesuatu yang boleh memujuknya.  Bagi anak yang sudah bersekolah, elok rasanya diberikan sebuah buku dan sebatang pen agar dia menyenaraikan apa yang dia inginkan, mungkin boleh diberikan sebagai hadiah harijadi mereka nanti.  Saya fikir, membawa sebuah kotak kecil yang berisi benda-benda yang boleh membuatkan anak kita itu leka adalah sangat membantu.

Jauhi Punca Kemarahan:  Cubalah untuk menjauhkan mereka daripada perkara-perkara yang boleh membuatkan mereka mengamuk.  Bagi anak yang sedikit dewasa, anda boleh ajarkan dia untuk menjadi lebih peka.  Anda boleh lakukannya dengan menekankan kepadanya apa yang anda perhatikan.  Anda boleh kata, “Ibu selalu nampak bila abang penat selepas pulang dari sekolah, abang selalu bergaduh dengan adik-adik.  Cuba abang beritahu ibu, apa yang agaknya abang boleh buat supaya abang tak marah-marah?” Si abang mungkin akan membalas, “Rasanya abang boleh duduk dalam bilik sambil membaca”.  Matlamat anda adalah untuk mencuba benda baharu yang dapat menjauhkannya dari perkara-perkara yang boleh menyebabkan dia mengamuk, dan dalam masa yang sama mengajarnya mengenali perkara-perkara yang boleh membuatkan dia mengamuk.  Faktor fizikal juga sering menjadi punca kanak-kanak mengamuk.  Bagi anak kecil khususnya, kita hendaklah memastikan mereka mendapat rehat dan makan yang cukup selain tidak dibiarkan berjaga terlalu lama.

Rancang Lebih Awal dan Yakinkan Diri:  Jika anda telah mengetahui perkara-perkara yang menyebabkan anak anda mengamuk, maka buatlah perancangan.  Beritahu diri anda, “Kita akan ke pasaraya, dan saya tahu apa yang biasanya berlaku di sana.  Jadi, awal-awal lagi saya akan ingatkan anak saya itu dan beritahu dia apa yang saya harapkan. Kalau dia buat hal juga, saya akan bertindak seperti apa yang telah dirancang”.  Latihlah dia untuk menangani perkara-perkara yang boleh menyebabkan dia mengamuk dan maklumkan dia akan tindakan anda sekiranya dia gagal mengawal perasaan.  Bagi anak di bawah umur 6 tahun, anda boleh mendukung dia keluar dari pasaraya itu. Bersiap sedialah bagi menghadapi keadaan sebegini.

Tunjuk Teladan Yang Baik: Tunjukkan tingkahlaku yang baik agar dapat dicontohi oleh anak.  Apa perasaan anda bila kecewa?  Cara anda mengurus perasaan tersebut akan ditiru olehnya.  Tentukan cara anda bertindak, tanpa mengambil kira tingkahlakunya.  Ketepikan emosi supaya anda dapat memikirkan tindakan yang bijak bagi menangani situasi yang sukar ini.  Seharusnya anda tanyakan soalan ini kepada diri sendiri, “Macam mana saya nak bertenang bila anak saya sedang mengamuk?” bukannya “Macam mana saya nak tenangkan dia?”  Tiada siapa dapat mengawal perasaan orang lain.  Semakin anda cuba untuk mengawal kelakuannya, berkemungkinan besar semakin kuat dia meragam.

Apa Yang Perlu Dilakukan Bila Si Anak Mengamuk

Terdapat beberapa panduan asas yang saya fikir berkesan apabila anda terperangkap di dalam situasi yang sukar ini dan anak anda pula sedang mengamuk.

Kawal Diri Anda: Pertama sekali, anda perlu bijak mengawal diri; jangan cuba untuk mengawal anak anda sebaliknya tenangkanlah diri anda terlebih dahulu.  Berusahalah bersungguh-sungguh.  Buatlah sesuatu seperti berjalan dan ambil masa anda.  Telefon kawan.  Buatlah apa sahaja asalkan anda boleh bertenang, namun ingat, jangan sesekali hilang sabar dan marah.  Ingat, anda hanya perlu bertenang supaya anda dapat mengawal keadaan.  Sekiranya ada seseorang yang tenang pada ketika itu, maka itu adalah permulaan yang baik untuk meredakan kemarahan si anak itu tadi.

Ingat, Anda Tidak Bertanggungjawab Mengawal Tindakan Dia: Ingatlah bahawa anda tidak bertanggungjawab ke atas pilihan anak anda.  Sebaliknya, anda perlu bertanggungjawab ke atas cara anda yang anda pilih bagi menangani pilihannya.  Jangan terikut-ikut dengan kemarahannya.  Ini hanya akan memburukkan lagi keadaan.  Sentiasa fokus untuk bertenang.  Jangan bertindak balas dengan menjerit, menggelabah mahupun mengalah – kesemua ini adalah reaksi yang biasa dilakukan oleh ibubapa.

Cuba Bertenang Dan Jangan Marah:  Kemarahan anda hanya akan menambahkan rasa marah dan kecewa si anak dan menyebabkan dia merasa lebih defensif.  Ingat, perasaan cemas mudah berjangkit, begitu juga dengan perasaan tenang.

Jangan Tunduk Kepada Permintaannya:  Sekiranya anda memberikan apa yang diminta semasa dia sedang mengamuk, ini hanya akan menggalakkan dia untuk terus mengulangi tabiat buruknya itu.  Kesannya, anda telah mengajarkan dia bahawa cara terbaik untuk memenuhi kehendaknya adalah dengan menjerit, memekik dan meragam.

Asingkan Dia: Bukanlah bermaksud untuk mengurungnya, tetapi cukuplah sekadar menyuruh si anak masuk ke dalam bilik atau letakkan dia di satu ruang untuk dia berehat dan belajar untuk menenangkan dirinya.  Biarkanlah dia bersendirian sekejap asalkan dia tidak terus mengamuk.

Kalau Perlu, Berpura-puralah Tenang:  Pepatah Inggeris ada menyatakan, “Fake it till you make it.”  Memandangkan anda ingin bertenang, rasaya tidak salah jika anda berpura-pura tenang.  Memanglah, anda akan rasa bersalah: malu, marah dan kecewa, tetapi ingatkan diri anda, “Saya tidak akan ambil peduli akan perasaan ini. Ianya tidak membantu”.  Dengan kata lain, pada awalnya anda tidak perlu betul-betul tenang.  Anda akan merasa tidak selesa, akan tetapi yang lebih penting adalah cara anda mengurus perasan tersebut. (Bukankah ini yang ingin kita ajarkan pada anak-anak) 

Ingat, Tugas Anda Adalah Mendidik:  Ingat, anda adalah seorang guru.  Si anak masih belum pandai untuk mengurus emosinya dan menjadi tugas anda membantunya belajar untuk melakukannya.  Ingat, dia sedang menguji anda – percaya atau tidak, dia mahukan anda lulus.  Zahirnya kita nampak dia mahu kita mengalah, akan tetapi di suatu sudut yang lain, mereka mahu melihat adanya ibubapa yang kuat bersama mereka.  Anak-anak ingin melihat ibubapa yang tegas, kuat dan boleh dia percayai, yang selalu mengotakan kata-kata mereka.  Mereka tidak mahu ibubapa yang lemah.  Mereka mahu ibubapa yang mampu mengawal keadaan agar mereka tidak mudah hilang arah.

Apa Yang Perlu Dikatakan Apabila Dia Sedang Mengamuk

Bercakap Dengan Jelas Dan Tenang:  Bercakaplah dengannya dengan jelas dan tegas.  Si anak mahu melihat anda berupaya untuk mengawal keadaan.  Semua ini dapat diluahkan melalui nada suara, mimik muka dan gerak tubuh anda.  Tunjukkan padanya yang anda akan terus tenang.  Teguhkan pendirian dan bertegaslah.  Anda boleh katakan, “Ini bukan rumah kita.  Kita balik bila kamu dah tenang. Jom, kita balik sekarang”.

Tunjukkan Empati:  Apabila si anak sedang mengamuk, rasanya sangat penting untuk anda bersikap empati, bukannya mengalah atau marah.  Sekiranya perlu, anda boleh berkata, “Ibu tahu abang kecewa sebab tak dapat beli permainan tu hari ni.”  Sikap empati membuka peluang untuk suara kita didengari, memulakan tindakan tanpanya boleh menutup segala peluang yang ada.  


Satu Soalan Mudah Yang Wajib Ditanya:  Tanyakan diri anda, “Apa yang ingin saya buat dalam situasi ini?” dan bukannya, “Apa yang saya mahu dia buat?”  Selalunya dengan mengubah sedikit cara berfikir, kita akan mendapat keputusan yang berbeza.  Saya ulangi, sekiranya saya terlalu sibuk untuk mengawal tingkahlaku anak, keputusan yang saya saya dapat adalah sangat berbeza berbanding jika saya berusaha untuk mengawal diri saya sendiri.

Bila Si Anak Tidak Belajar Untuk Mengawal Emosi

Jika anda mengalah ataupun turut sama marah, apabila si anak membesar dan meningkat dewasa, perkara ini boleh bertukar menjadi konflik kuasa yang kronik dalam keluarga.  Amat sedih sekali, saya seringkali melihat perkara ini terjadi di sepanjang kerjaya saya.  Ledakan kemarahan yang dialami oleh anak remaja bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah.  Sikap pemarah anak lelaki anda tidak akan berubah walaupun usianya telah meningkat remaja; dia sukar untuk menerima “tidak” sebagai jawapan.  Sementara itu, anda akan kepenatan melayan karenah si anak gadis dan dia sungguh bijak memanipulasikan anda.  Ataupun dia akan menjadi aggressif dan selalu melawan.  Apa yang dipelajari oleh anak ini adalah dia boleh dapatkan apa yang dia mahu dengan cara menakut-nakutkan orang lain.  Dia tidak akan belajar mengawal dirinya, oleh itu tingkah lakunya akan menjadi sangat reaktif dan melampau.  Percayalah, konflik ini boleh menjadi lebih teruk. 

Perhatikan bagaimana seorang anak kecil yang berumur 2 tahun sedang mengamuk dan kemudian bayangkan pula perkara yang sama ke atas seorang remaja yang berumur 20 tahun.  Anda mungkin akan melihat dia menumbuk dinding, menjerit, memaki hamun dan cuba menakutkan anda atau mungkin juga lari dari rumah. Sekiranya anda melayannya, dia akan terus mengamuk.  Namun, inilah rahsianya:  kita hanya memerlukan seorang sahaja untuk menghentikan tabiat buruk ini dan kemudian semuanya akan selesai.  Oleh itu, biarkan mereka.  Jangan biarkan diri anda dikuasai emosi apabila si anak itu sedang mengamuk.  Akhirnya ini dapat membantu dia mengawal emosinya.

Jadi, fikirlah untuk membina hubungan erat yang berkekalan, bukannya mengambil timdakan segera untuk mengubah tabiat itu.  Selalunya, kita hanya cuba untuk menghentikan kemarahan atau karenah mereka itu.  Seringkali terlintas di fikiran kata-kata seperti “Saya dah tak tahan lagi!” atau “Asyik bergaduh saja. Naik gila saya dibuatnya”.  Barangkali mudah bagi kita menghentikan seseorang daripada meneruskan perbuatannya, namun ini mungkin boleh menjejaskan masa depan perhubungan kita dengannya.  Namun sebaliknya, jika kita mahu hubungan itu berpanjangan maka kita mestilah mengambil kira soal ini apabila kita menangani tingkahlaku mereka.  Tindakbalas kita terhadap tingkah laku mereka perlulah bijak agar hubungan kekeluargaan ini bertambah erat.  Kita boleh melakukannya dengan cara memujuk mereka dan bukannya dengan mengawal mereka.  Mereka akan lebih mudah dipujuk dan dipengaruhi sekiranya kita menghormati mereka dan pilihan mereka, tidak memarahi mereka apabila mereka mengamuk.  Pada pendapat saya, inilah langkah yang terbaik untuk menjalinkan hubungan yang kukuh bersama anak-anak.


Tentang Debbie Lincus, MS LMHC

Selama lebih 25 tahun, Debbie telah menawarkan perkhidmatan terapi dan bimbingan secara bersungguh-sungguh dan efektif dalam membantu individu, pasangan dan ibubapa bagi memulihkan diri dan perhubungan mereka.  Debbie adalah pengasas kepada program Calm Parent AM & PM™ and juga penulis beberapa buah buka untuk golongan muda berkaitan perhubungan sesama manusia.



Comments

Popular posts from this blog

Memahami Egosentrisme Di Kalangan Kanak-Kanak

ADHD di Kalangan Kanak-Kanak

Rahsia Di Sebalik Minda ADHD